Friday, February 24, 2006

TBP: Apakah Kriteria Yang Layak?

Sejak dua, tiga hari lepas..mata saya terpandang berita di akhbar mengenai pertikaian antara Menteri Kesihatan, Dato' Dr. Chua Soi Lek dengan seorang pemohon Tabung Bantuan Perubatan, Encik Mohamad
Ariff Samsuddin yang ditolak permohonannya untuk menerima TBP.

Saya terpanggil untuk berbicara mengenai isu ini memandangkan saya juga pernah memohon tabung yang sama untuk rawatan anak sulung saya yang mengidap penyakit paru-paru kronik sejak dilahirkan pada Mac 2004 lalu.

Anak kecil saya, yang saya gelarkan dengan jolokan 'My Little Hero', Muhammad Akif Harith disahkan mengidap Chronic Lung Diseases kira-kira 6 jam selepas dilahirkan. Dan akhirnya, Akif mendiami Paediatric
Intensive Care Unit (PICU) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selama hampir 99 hari, termasuk dua minggu di wad biasa.

Dua minggu selepas discharge, Akif dimasukkan semula ke PICU PPUM kerana masalah yang sama dan perlu memakai mesin sokongan pernafasan (CPAP) selama lebih 3 bulan. Alhamdulillah, dengan izin Allah dan
kesungguhan para doktor, dan jururawat...akhirnya CPAP boleh dikeluarkan dan diganti dengan 'bilevel positive airway pressure' machine atau BiPAP.

Oleh kerana penyakit ini mengambil masa yang agak panjang untuk sembuh sepenuhnya, maka doktor menasihatkan saya dan suami untuk memiliki mesin BiPAP ini untuk kegunaannya di rumah. Sejak itu, saya
sedar saya perlu berusaha keras untuk mengumpul dana bagi membolehkan saya memiliki mesin itu yang bernilai kira-kira RM 42 ribu!

Bahagian kebajikan PPUM segera menemui saya dan suami untuk membincangkan soal pembelian mesin berkenaan. Biarpun, kami berdua mempunyai kerja tetap, tapi untuk memiliki BiPAP semahal itu...memang
tidak mampu.

Kami memohon bantuan badan kebajikan tersebut untuk mendapatkan mesin berkenaan. Kami diberi beberapa pilihan sebagai cara untuk memperoleh mesin berkenaan. Antaranya, menghebahkan kepada media,mengumpulkan wang sebanyak mana yang mampu dan bakinya
ditanggung oleh TBP. Kami mengambil langkah mengumpul sebanyak mana dana yang boleh untuk mendapatkan mesin itu.

Sepanjang tempoh berkenaan, Akif masih di wad kerana dia memang bergantung sepenuhnya dengan mesin berkenaan. Mujurlah syarikat pengeluar mesin berkenaan, bermurah hati memberi pinjam 'sementara'
mesin tersebut sehingga keputusan TBP diperoleh. Jadi, bolehlah Akif menjalani kehidupannya di rumah.

Kami menunggu hampir 6 bulan untuk mendapat keputusan TBP. Alhamdulillah...sudah menjadi rezeki Akif, TBP bersedia memperuntukkan RM 32 ribu untuk pembelian mesin tersebut, dan kami perlu menambah
RM 10 ribu untuk memiliki BiPAP itu. Terima kasih kepada Encik Yazil (badan kebajikan PPUM) yang menguruskan permohonan kami.

Pada awalnya, memang saya tidak berharap yang Akif akan menerima bantuan berkenaan, namun tiada siapa yang boleh menolak kuasa Allah. Bagaimanapun, sehingga kini saya masih membayar baki jumlah mesin
berkenaan secara berdikit-dikit. Malah, bil rawatan di PPUM pun masih berbaki kira-kira RM 2 ribu!

Bila mengenang keadaan ini, hati saya tertanya-tanya apakah kriteria sebenar pemohon TBP. Bukanlah saya minta TBP menarik balik bantuan yang diberikan, kerana saya juga tidak mampu memiliki mesin itu tanpa
bantuan TBP, tetapi saya lihat ada juga yang senasib dengan saya tidak diluluskan permohonannya.

Bila membaca di akhbar, ramai golongan tidak mampu gagal memperoleh bantuan dari tabung berkenaan, hati saya terusik. Saya benar-benar dapat merasai keperitan dan kesusahan mereka mencari wang untuk rawatan mereka ataupun anak mereka.

Saya memang tidak tahu prosedur dan kriteria sebenar pemohon TBP yang layak. Berdasarkan pengalaman saya, walaupun saya suami isteri berpendapatan tetap, tetapi untuk memiliki mesin bernilai RM 42 ribu, di
samping penyelenggaraannya sebanyak kira-kira RM 300 sebulan, saya memang tidak mampu.

Harapan saya, pihak yang menguruskan TBP dapat menjelaskan secara terperinci kriteria yang layak untuk memohon tabung tersebut. Setiap pemohonan itu pula hendaklah diteliti secara mendalam bagi memastikan
semua pihak yang memerlukan dan benar-benar layak berjaya menerima bantuan dari tabung berkenaan.

Kepada pihak TBP dan Encik Yazil, terima kasih kerana meringankan beban saya untuk menanggung kos perubatan anak saya. Juga kepada wakil Somnotec (syarikat pengeluar BiPAP), Mr. Stanry Lau...terima
kasih atas kerjasama dan keprihatinan anda!!

No comments: