Sunday, December 17, 2006

Akif start melangkah dah...


Alhamdulillah...Akif dah start melangkah. Walaupun takut-takut dan tak confident, perubahan tu cukup menggembirakan aku. Tapi memang kene banyak sabar...sebab dia cepat serik bila jatuh. Kenalah pujuk beria-ia sikit nak suruh dia berjalan.

Mulut dia pulak...aduhai, tak daya nak menahannya. Makin petah bercakap. Nak pulak, dia tak pelat. Siap boleh sound ayah dan mama dia kalau ada yg dia rasa tak kena. Dalam loghat Chenor lagi!!! Sabo jelah...anak

Apapun, aku happy betul dengan kerenah dia sekarang. Maklumlah, lama sangat dia berbaring dan tak dapat buat macam apa yg budak lain boleh buat. So sekarang ni...balas dendam la dia...

Wednesday, December 06, 2006

Berembang Oh Berembang...


Tragedi Berembang, 20 Nov lalu betul-betul menyakitkan dada aku tentang sikap penguasa tempatan, MPAJ. Walaupun alasan mereka, 'menjalankan tugas', sikap mereka yang tak boleh bertolak ansur tu cukup menimbulkan kebencian. Nak pulak, kes tanah di kampung tu masih dibicarakan di mahkamah.

Aku ikuti kes itu dari hari pertama, ketika rumah-rumah di situ dirobohkan. Sakit mata, sakit hati melihat cara MPAJ berkerja. Langsung tak berperikemanusiaan. Lebih sakit lagi, pada 30 Nov yang menyaksikan surau di kampung tu dirobohkan. Bukan sikit air mata aku mengalir...


Yang geram tu, pegawai Jais pun tak boleh buat apa-apa. Kalau dah tak boleh buat pape, ngape datang kampung tu hari tu? Saja nak mengaburi dan memberi ruang MPAJ buat keje-keje meroboh tanpa disedari penduduk?

Tapi, yang paling aku kagum tentang Tragedi Berembang ni...ialah kanak-kanak di situ. Walaupun masih kecil, mereka bermati-matian mempertahankan kampung mereka. Semangat mereka memang betul-betul unik!!! Tapi, yang geramnya MPAJ tak nampak semua tu. Rempuh je budak-budak tu, sedangkan mereka lebih kecil berbanding mereka...

Aku teringat kata-kata seorang penduduk di situ, sebelum balik ke pejabat untuk buat berita.

"Jangan kahwin dengan pegawai MPAJ!" - disambut dengan sokongan daripada beberapa orang di situ...

Thursday, November 16, 2006

Penyelewengan SPR dan faktor Anwar


Mon Oct 30, 06 05:24:03 PM
Oleh Lutfi Othman dan Anis Nazri

Naib Presiden KeADILan, AZMIN ALI, menarik perhatian awam apabila membuat pendedahan terperinci tentang kepincangan dalam daftar pemilih. Sebagai Pengarah Pilihan Raya KeADILan Pusat, beliau bertanggungjawab menyediakan laporan tentang pilihan raya di Malaysia, "Sham Democracy".

Harakah berpeluang mewawancara tokoh muda yang cukup rapat dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim ini, di pejabatnya, di Taman Tun Dr Ismail, 13 Oktober lalu. Banyak yang disinggungnya termasuk faktor Anwar menjelang pilihan raya akan datang. Ikuti wawancara ANIS NAZRI dan AHMAD LUTFI OTHMAN dengan Azmin.

HARAKAH: Baru-baru ini, KeADILan ada menyediakan laporan tentang penyelewengan pilihan raya umum ke-11. Apa tindakan susulan berhubung laporan tersebut?

AZMIN ALI: Laporan itu dinamakan 'Sham Democracy', di mana ia adalah hasil penyelidikan pakar-pakar IT KeADILan. Laporan tersebut dihantar kepada wakil-wakil kedutaan asing di sini bagi menggambarkan situasi sebenar sistem pilihan raya di Malaysia kepada mereka. Dato' Seri Anwar Ibrahim sendiri mengedarkannya ke peringkat antarabangsa.

Apa reaksi Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman terhadap pendedahan itu?

Beliau agak panik apabila melihat bukti-bukti itu. Malah beliau bercadang mengadakan pertemuan dengan pimpinan KeADILan, di mana beliau kumpulkan pimpinan parti yang agak rapat dengan beliau seperti di Kelantan, untuk bertemu secara sulit. Bagaimanapun, beliau meletakkan syarat dengan tidak mengizinkan saya menghadirinya. Jadi, tiada siapa daripada parti yang hadir kerana beranggapan isu tersebut bukan isu Azmin, tetapi isu parti. Beliau berjanji mahu buat pertemuan dengan parti politik mengenai daftar pemilih selepas raya.

KeADILan turut membina satu sistem dinamakan Sismep 12. Apa keperluannya?

Tentang Sismep 12 (Sistem Menang Pilihan Raya ke-12) ini, saya tidak tahu bagaimana Rashid tahu mengenainya. Pada 10 Ogos lalu, beliau mengeluarkan kenyataan dalam Berita Harian mengenai sistem ini. Katanya, sistem ini gimik politik, dan sebenarnya tiada pengundi hantu dalam daftar pemilih. Masalahnya beliau tidak menjawab isu sebenar yang dibangkitkan. Saya sebut, jika bukan pengundi hantu, apakah status pengundi tersebut?Contohnya, pengundi yang sudah meninggal datang mengundi. Itu bukan hantu? Okey, jika bukan, kategori apa pengundi itu? Saya bagi contoh dalam laporan bertulis, ayah saya sendiri boleh datang mengundi selepas lima tahun meninggal. Dan memang ada yang datang mengundi dengan mengunakan nama dia.
Pada 1999, ayah saya meninggal bulan Julai dan pilihan raya November. Namanya sudah dikeluarkan dari daftar pemilih, tapi pada 2004, namanya dimasukkan semula. Bukan setakat masuk, tetapi boleh datang mengundi. Kita ada bukti. Pengundi apa ini? Ini bukan hantu?

Apa sebenarnya pengundi hantu berdasarkan kajian saudara dan KeADILan?

Antara lainnya pengundi yang menggunakan alamat rumah orang lain tanpa kebenaran, bilangan pengundi yang tidak sepatutnya berada di dalam sesebuah rumah, wujudnya alamat yang bersifat pangsapuri sedangkan di kawasan tersebut hanya rumah kampung sebuah-sebuah, jumlah kertas undi di Dun dan Parlimen tidak sama, dan lain-lain lagi yang diperincikan dalam Sham Democracy.

Dulu kita serang SPR tanpa bukti, kini sudah cukup bukti. Ia terhasil dari Sismep 12 yang digabungkan dari daftar pemilih yang dibeli dari SPR. Bagi kami, pengundi hantu ialah pengundi yang tiada kelayakan untuk mengundi. Sismep 12 bukan saja boleh kesan penipuan tapi juga kaedah penipuan.

Begitu juga tentang umur pengundi di antara 90-122 tahun, bilangannya hampir 20 ribu. Saya pertikaikan. Di Padang Serai, kita dimaklumkan terdapat 38 orang berumur lingkungan usia tersebut. Mereka buat culaan sebelum puasa baru ini dan mendapati sudah 36 orang tidak ada. Jadi kita perlu turun padang untuk memastikan senarai nama mereka yang sudah tiada dikeluarkan dari daftar pemilih.

Lagi kepincangan dan penyelewengan SPR?

Tahun 2004 menyaksikan pilihan raya yang paling buruk. Contohnya pengundi yang tiada saluran untuk mengund, di Selangor saja, 223,000 pengundi tiada saluran mengundi. Jadi mereka tidak dibenarkan mengundi. Bagaimana ini berlaku? Begitu juga dengan alamat palsu yang terkandung dalam daftar pemilih. Di Pulau Pinang, rumah di situ sehingga nombor 30, tapi dalam daftar pemilih terdapat nombor sehingga 80. Soalnya, di mana rumah-rumah ini? Banyak kepincangan tentang daftar pemilih didedahkan dan memerlukan pembersihan. Bagaimana ia dapat dijalankan?

Apa yang akan menyusul selepas kursus Sismep 12 yang telah kita adakan, kita akan membekalkan borang kaji selidik (BKS) di mana setiap bahagian dibekalkan. Berdasarkan Sismep 12 kita akan turun ke ke bahagian untuk kumpulkan maklumat. Contohnya, setinggan yang banyak dirobohkan di Selangor dan KL, di mana mereka sekarang? Jadi, kita serahkan kepada 'task force' di peringkat pusat dan kemudiannya dibawa secara kolektif ke SPR. Kita mahu beri tekanan kepada SPR.

Apakah bahan-bahan bukti itu akan mengikat SPR untuk membersihkan daftar pemilih atau ada helah Rashid yang lain?

Setakat ini beliau tidak bagi jawapan tepat. Tidak menjawab soalan asas. Kita bukan cakap kosong, kita ada bukti melalui sistem yang cukup baik. Sebab itu dalam kongres KeADILan, kita desak Rashid dan Setiausahanya, meletakkan jawatan. Jika tidak, KeADILan tidak menolak kemungkinan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong kerana perlantikan ini oleh Agong, walaupun atas nasihat kerajaan. Kita mahu serahkan bukti-bukti ini kepada Majlis Raja-raja supaya tindakan diambil sebelum pilihan raya akan datang.

Jika dilihat dalam Perlembagaan, soal perlantikan mesti mendapat keyakinan awam.

Itu jelas, tetapi sekarang keyakinan itu sudah tidak ada, sudah terhakis. Terhakis kerana rakyat sudah didedahkan dengan penyelewengan dan pencabulan SPR dan ini satu perkara serius. Cuba lihat di Thailand, pengerusi yang menjaga hal ehwal pilihan raya dipenjarakan bersama-sama dua anggota exconya kerana menyeleweng dalam pilihan raya. Bila situasinya begitu, barulah rakyat yakin dan percaya dengan institusi tersebut. Mengapa tidak kita? Malaysia selalu mendabik dada, mengatakan negara demokratik, negara Islam, tapi pemimpin yang juga pengerusi OIC menunjukkan contoh yang tidak baik.

Soalnya di negara kita, walaupun pembangkang menunjukkan pelbagai bukti penyelewengan SPR, namun respons daripada rakyat nampak tidak kuat?

Ini masalah kefahaman, juga media di Malaysia yang tidak bebas. Sentiasa dipadamkan tentang sokongan terhadap pembangkang, jadi maklumat tak sampai. Maka menjadi tanggungjawab parti untuk mendidik rakyat supaya memahami keperluan pembaharuan dalam sistem pilihan raya. Saya lihat tiga komponan parti pembangkang, KeADILan, PAS dan DAP, buat kali pertama bersetuju duduk semeja untuk membincangkan tentang pembaharuan, di mana kita juga menubuhkan Join Action Committee on Election Reform (JACR), khusus untuk membincangkan tentang pembaharuan ini. Kita akan adakan sidang akhbar selepas raya, di Parlimen. Dalam isu ini kita bersama, kemudian kita turun ke bawah untuk menerangkan kepada rakyat. Untuk memberi tekanan kepada pemerintah terutama daripada pihak antarabangsa, peranan Dato' Seri Anwar Ibrahim amat diperlukan. Selepas sistem ini dibina, sudah kenal pasti masalah dan melihat pelbagai pencabulan dan kelemahan, kita kumpul semua dan telah menyiapkan laporan 'Sham Democracy'. Dan atas permintaan Anwar, kita dah hantar ke kedutaan asing yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Tujuannya agar mereka tidak menerima mudah kemenangan BN dalam mana-mana pilihan raya. Mereka perlu faham bahawa penyelewengan itu terlalu 'real', serius tetapi tidak dapat didedahkan kerana media di sini dikongkong, malah dimiliki, parti pemerintah. Beberapa kedutaan asing sudah menghubungi kita semula, untuk dapatkan maklumat dan penjelasan yang lebih terperinci, termasuk beberapa negara Asean yang agak 'concern' dengan perkembangan demokrasi.

Bagaimana dengan tuntutan untuk membawa masuk pemantau antarabangsa?

Secara prinsipnya, KeADILan fikir bahawa pemantauan asing tidak perlu, tetapi dengan syarat pilihan raya itu bersih. Apabila berlaku terlalu banyak penyelewengan, kita tiada pilihan melainkan perlu dipantau, bukan pada hari mengundi sahaja, tetapi sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tarikh pilihan raya untuk melihat keseluruhan proses pilihan raya itu.

Ada pihak berpendapat pemantauan itu sendiri seolah-olah memberi mesej pilihan raya kita tidak bebas?

Ini bukan soal tidak demokratik. Kalau pilihan raya kita bersih, adil tiada sebab takut untuk dipantau. Memang menjadi amalan antarabangsa seperti di India, Turki yang membenarkan pemantau antarabangsa. Tiada benda yang hendak disorok. Bila Malaysia tidak benarkan, timbul keraguan bahawa ada sesuatu yang tak kena. Saya setuju pencabulan bukan hanya pada daftar pemilih, tapi merangkumi semua, seperti media. Suasana sekarang cukup baik untuk pembangkang, perlu rapatkan barisan antara kita kerana rakyat sudah letih dengan pemerintahan.

Mengenai hubungan PAS-KeADILan. Sesetengah pihak melihat ia tidak seintim dulu?

Saya tak setuju pandangan itu. Sekali lagi, ini peranan media yang melihatkan hubungan PAS dan KeADILan yang kononnya tidak rapat. Bagi saya suasana hari ini lebih akrab. Perbezaan pendapat itu perkara biasa. Dalam satu keluarga pun ada berbeza pandangan. Tapi yang penting perlu bergerak atas dasar permuafakatan.
Memang ada perbezaan dalam beberapa perkara, seperti isu Tun Mahathir, tetapi masih ada banyak perkara yang kita setuju bersama. Mengapa kerana ada satu, dua perkara yang kita tak setuju diperbesarkan, sedangkan perkara yang disepakati bersama ditenggelamkan. Inilah peranan media. Suara Keadilan dan Harakah punya tanggungjawab untuk tonjolkan persefahaman di kalangan ahli KeADILan dan PAS. Kita tak mahu rakyat keliru dengan benda-benda begini. Kenapa hari ini Mahathir nak bicarakan apa yang dulu dia juga buat?

Betul, sebagai parti politik kita kena ambil kesempatan, tapi jangan sampai terperangkap. Kita boleh eksploit isu, tapi kena bijaksana. Jika sudah terperangkap, kita susah nak 'make adjustment' dan rakyat di bawah menjadi makin keliru. Jangan lihat ini sebagai satu masalah, banyak lagi persamaan yang dimuafakat bersama.

Kembali faktor Anwar, ramai tidak puas hati pembabitannya dalam kancah politik Malaysia. Beliau masih banyak masa di luar negara sedangkan barisan pembangkang memerlukan kehadirannya. Lagipun pilihan raya sudah tidak lama lagi dan kita bimbang dalam masa singkat nanti tidak banyak yang boleh dibuat oleh Anwar.

Itu satu persepsi yang 'real', bukan saja daripada PAS, tapi KeADILan juga. Begitu juga rakyat biasa. Mereka mahu Anwar berada di Malaysia. Saya setuju sentimen ini. Tetapi Anwar lebih tertumpu kepada program yang diadakan secara tertutup kepada kelompok sasaran. Jadi tidak banyak publisiti. Anwar juga banyak menyatakan pendirian tentang PAS, di pentas-pentas antarabangsa, di mana beliau menyangkal pemikiran non Muslim yang menyifatkan PAS sebagai Taliban. Bila mendengar hujah dan pendirian Anwar, mereka baru faham kedudukan sebenar. Anwar banyak berhubung dengan Dewan Perniagaan Cina, Persatuan Pendidikan Cina termasuk Suqiu, Persatuan Hokkien dan lain-lain. Kesannya sangat positif, mereka makin faham kedudukan sebenar.

Agenda di luar negara pun penting juga, kerana jika kita mahu perintah negara ini, kita perlu mendapat sokongan dunia antarabangsa. Soalan pertama yang sering ditanya kepada Anwar, mengapa KeADILan ada hubungan dengan PAS? Anwar sering pertahankan pendiriannya tentang hubungan dengan PAS. Akhirnya, mereka dapat gambaran jelas tentang PAS.

Anwar tidak akan lama di luar negara, dia akan kembali ke tanah air untuk mengukuhkan kedudukan kita, barisan pembangkang. Insya-Allah.

Friday, November 10, 2006

ISA: Sunyi dan air mata Syawal


Khamis, 19 Oktober 2006

Saya teringat, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah melahirkan rasa sunyi menyambut Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi dengan ketiadaan isteri tercinta yang mengadap Ilahi sejak setahun lalu.

Rasa kesunyian yang dialami itu diluahkannya dalam nada lirih dan sayu, mampu membuatkan ramai yang bersimpati dengan ujian yang diberi kepadanya.

Ohh...saya bukan mahu bercerita tentang kesunyian, kesedihan Pak Lah. Biarlah dia dengan segala kesedihan dan kesunyiannya, kerana semua insan di muka dunia ini akan berhadapan situasi sepertinya. Tidak kira kerana kehilangan isteri, suami atau anak-anak. Malah, tanpa kehilangan sesiapa pun pasti sekali dalam hidup mereka situasi tersebut akan ditempuh.

Teringat kesedihan dan kesunyian yang diungkap Pak Lah, spontan saya terbayang wajah-wajah isteri tahanan ISA, yang telah lama kesunyian dan dilambung kesedihan, malahan lebih lama berbanding Pak Lah sendiri.

Ya! Hampir lima tahun mereka diselubungi kesunyian dan kesedihan. Hampir lima tahun pelbagai perasaan terimbau di jiwa mereka. Sedih, kecewa, terkejut, marah, sakit hati, pedih, dan segala macam rasa yang ada tersemat kukuh dalam jiwa mereka.

Isteri-isteri yang selama ini banyak bergantung harap kepada suami mereka semata-mata, dipisahkan secara kejam hingga mengakibatkan mereka mengalami 'kejutan budaya' apabila terpaksa mengambil alih tugas dan tanggungjawab suami selama ini.

Sebelum ini, sebelum saya menjadi wartawan, saya tidak tahu apa itu ISA. Pada pandangan saya, ISA ini sama seperti undang-undang lain. Aduh! Alangkah ceteknya pengetahuan saya ketika itu. Dan saya sedar, ramai di luar sana yang masih kabur, malah tidak memahami apa ISA itu sebenarnya.

Apabila menceburkan diri dalam bidang kewartawanan, saya agak selalu juga membuat tugasan mengenai akta drakonian itu, di samping rakan setugas yang lebih pakar tentang ISA, Wan Nordin. Kekerapan saya mengikuti program anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) sebenarnya menambahkan pengetahuan kepada saya, di samping mendekatkan diri dengan keluarga tahanan tanpa bicara ini.

Bagaimana dekat sekali pun saya dengan isteri-isteri tahanan ini, saya tidak pernah bertanya dari hati ke hati tentang perasaan mereka. Faham-faham sendiri sajalah, tak perlu tanya...fikir saya. Daripada program-program yang saya hadiri, saya fahami perasaan mereka dan ada ketikanya bertindak 'kejam' (seperti yang diungkap rakan setugas, Azamin sebelum ini) apabila tidak mengendahkan perasaan mereka demi mendapatkan berita yang diingini.

Norlaila Osman, satu nama yang begitu sinonim dengan ISA. Saya rapat dengan beliau, di samping beberapa isteri tahanan lain. Namun, seperti yang saya katakan saya tidak pernah bertanya dari hati ke hati tentang perasaannya sehinggalah semalam, ketika saya ditugaskan untuk 'mengorek lumat' hati dan perasaannya, menjelang Aidilfitri kelima tanpa suami di sisi!

Terlihat kesedihan yang tergambar di wajahnya, kesayuan nada suaranya, genangan air mata di sudut matanya apabila bercerita tentang suami kesayangannya, menjadikan sesi temuramah bertukar menjadi perbualan biasa.

Aduhai...tidak tergamak rasanya mahu berbicara secara serius tentang perasaannya. Apatah lagi, ketika beliau rancak bercerita tentang sikap suaminya, tiba-tiba beliau terhenti kerana sebak dan cuba melarikan diri dari sisi saya bagi menyembunyikan air mata yang mengalir.

Lantas dengan segera cuba mengambil bingkai gambar memuatkan wajah suaminya bagi menutup kesedihan, dan kemudiannya kembali ke sisi saya.

Bagi mereka yang mengenali beliau, sudah pasti mengenalinya sebagai seorang yang kuat, tabah dan tidak menunjukkan kesedihannya di hadapan orang ramai. Tetapi, di hadapan saya, di kediamannya dan bukan di program GMI, beliau menjadi begitu sensitif. Lebih-lebih lagi dengan sikap kejam saya yang bertanya itu ini tentang Aidilfitri!

Kebetulan, ketika kami berbual...berkumandang lagu raya yang dari rumah jiran sebelah. Spontan beliau meluahkan kata-kata "arghh...raya tak bererti apa-apa" dengan nada penuh lirih dan sayu.

Saya tertunduk diam, terasa panas mata saya mendengar luahan itu. Spontan, tangannya saya genggam erat. Memberi kekuatan kepadanya, biarpun bahu yang memikul sudah pasti terasa beratnya berbanding mata yang memandang.

Tahun ini, sudah masuk tahun kelima Norlaila menyambut raya di Kamunting, bersama suami di balik tembok batu. Kebiasaannya menyambut raya bersama ahli keluarga, tetapi kini tradisi itu berubah. Gara-gara pemerintah yang takut dengan bayang-bayang sendiri.

Dari perbualan kami, Norlaila memberitahu pertemuannya dengan suami di pagi raya agak berbeza berbanding tahun-tahun lalu. Jika dulu, boleh duduk bersebelahan dan makan bersama, sekarang beliau dipisahkan di sebalik gentian fiber dan berbicara melalui interkom.

Sedihnya, suami kesayangan beliau diasingkan daripada tahanan-tahanan lain, malah sering ditukarkan ke sel-sel mengikut 'citarasa' pihak kem.

disuarakan hasratnya kepada suami untuk mengurangkan aktiviti bersama GMI, tetapi suami melarang dan meminta perjuangan itu diteruskan.

Katanya, jika bukan Ila yang nak berjuang...siapa lagi. Mohd Sah sendiri tidak kisah dipindahkan ke sana sini, kerana baginya penderitaan dan kesengsaraan sang isteri dan anak tunggalnya di luar sana lebih menyakitkan!

Di akhir pertemuan, sekali lagi Norlaila menitiskan air mata. Harapannya begitu tinggi, menyaksikan pembebasan suami tercinta, terutamanya menjelang takbir raya. Namun,seperti dijangka...suaminya masih di sana, menyaksikan beberapa rakan lain meninggalkan pusat berkenaan...

Kak Laila...sabarlah, Allah tidak menimpakan sesuatu ujian itu tanpa kemampuan dan keupayaan kita...

Friday, September 01, 2006

Malam Merdeka


Pada malam merdeka lepas, aku diassign ke talk mengenai kemerdekaan di Selangor Chinese Assembly Hall. Program anjuran Suaram, CIJ dan beberapa NGO tu membariskan beberapa panelis. Antaranya, Dato' Khalid Jaafar, peguam Lina Joy, Malik Imtiaz, Pengarah CIJ, Sonia Radhrawa. Start program dalam kul 8 sampai 11 malam.

Actually, aku bukan nak citer pasal talk tu. Lagipun, bukan banyak sentuh pasal merdeka secara langsung. Mereka banyak cakap pasal perlembagaan. Itupun, waktu aku ngan Adon, Din, Wan dan Amirul masuk, semua mata panelis tertumpu kat kitorg. Rupa2nya, aku sorang je yg bertudung waktu tu. Yang lain, ramai kaum Cina dan India. Melayu, ada la beberapa kerat.

Balik dari talk tu, tinggal aku ngan Adon jek. Yang lain, dah lari ke KLCC sebab nak cover malam merdeka. So, aku ngan Adon menapak ler ke stesen monorail, nak balik opis. Mak oii...ramaina umat nak pi pesta. Kat area situ ramai Cina la yang naik. Kalau LRT Putra, soheh ramai Melayu!!

Satu tren sampai, tak dapek nak nyelit. Aku ngan Adon lari kat pintu belakang sekali. Aiseh...Adon sorang je yg sempat nyelit. Itupun pintu dah separuh tutup. Kalau aku masuk jugak, mau terbelah dua jasad aku..hihi.

Cuak gak tinggal sorang2 kat platform tu. Nak pulak time malam2 pesta muda-mudi ni. Dah ler tak biasa ngan area tu. Dalam hati, mintak2 Adon tunggu kat Titiwangsa, sebelum menapak ke masuk ke opis. Kalau idak, mati keras aku nak jalan sorang2 ke opis. Dah masa sama, aku tepon hubby bagitau Adon dah lepas dan suh dia tunggu aku kat stesen.

Sampai je tren, aku nyelit masuk. Fuh! Lega...kat belah belakang ni, orang tak ramai ngat. boleh la bernafas lagi. Tapi, lepas je dua stesen penuh semula. Time tu memang berhimpit-himpit ler. Macam dalam tin sardin.

Dari dalam tren, aku jenguk2 ke bawah nengok suasana di Bukit Bintang. Mak aiii...ramainya orang. Selalu tengok kat tv jek, kali ni depan mata. Bila sampai kat Bukit Bintang, Imbi...dah ramai yang turun. Lega yang teramat lega...Bila tren dah lengang, tetiba aku nampak kelibat cam seseorang yang aku kenali.


Leeerr...mamat ni turun kat mana plak? Rupanya Adon turun kat Imbi, untuk tunggu tren yang aku naik. Bagus gak Adon ni...ingat dia kat kawan. Maklumlah, dah malam kan. Nak pulak malam pesta gitu...Thanks Adon :)

Sampai kat Titiwangsa, hubby dah tunggu. Pi makan dulu kat Kg Baru. Sempatlah menengok warga kota sambut merdeka melalui tv kat restoran tuh.

Waktu balik, kat Bulatan Pahang...punyalah semput nafas aku tengok mat rempit ni. Dah ler hon bertalu-talu. Cilok sana cilok sini, terberenti keta2 kat situ sebab bagi laluan kat diorang. Actually, bukan nak sangat bagi laluan kat diorg...tapi kalau terlanggar diorang lain pulak jadinya.

Dalam hati aku terdetik...la, macam ni rupanya kemerdekaan mereka.

p/s: Esoknya, tengok di Buletin Utama camana warga kota berpesta. Ngeri wooo...yang sedihnya, ada yang tak tau Rukun Negara bila ditanya! Tengok pulak kat Edisi Siasat di Melaka, pasangan muda mudi ditangkap khalwat dengan keadaan yang mengaibkan!!! Alahai...