Thursday, November 16, 2006

Penyelewengan SPR dan faktor Anwar


Mon Oct 30, 06 05:24:03 PM
Oleh Lutfi Othman dan Anis Nazri

Naib Presiden KeADILan, AZMIN ALI, menarik perhatian awam apabila membuat pendedahan terperinci tentang kepincangan dalam daftar pemilih. Sebagai Pengarah Pilihan Raya KeADILan Pusat, beliau bertanggungjawab menyediakan laporan tentang pilihan raya di Malaysia, "Sham Democracy".

Harakah berpeluang mewawancara tokoh muda yang cukup rapat dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim ini, di pejabatnya, di Taman Tun Dr Ismail, 13 Oktober lalu. Banyak yang disinggungnya termasuk faktor Anwar menjelang pilihan raya akan datang. Ikuti wawancara ANIS NAZRI dan AHMAD LUTFI OTHMAN dengan Azmin.

HARAKAH: Baru-baru ini, KeADILan ada menyediakan laporan tentang penyelewengan pilihan raya umum ke-11. Apa tindakan susulan berhubung laporan tersebut?

AZMIN ALI: Laporan itu dinamakan 'Sham Democracy', di mana ia adalah hasil penyelidikan pakar-pakar IT KeADILan. Laporan tersebut dihantar kepada wakil-wakil kedutaan asing di sini bagi menggambarkan situasi sebenar sistem pilihan raya di Malaysia kepada mereka. Dato' Seri Anwar Ibrahim sendiri mengedarkannya ke peringkat antarabangsa.

Apa reaksi Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman terhadap pendedahan itu?

Beliau agak panik apabila melihat bukti-bukti itu. Malah beliau bercadang mengadakan pertemuan dengan pimpinan KeADILan, di mana beliau kumpulkan pimpinan parti yang agak rapat dengan beliau seperti di Kelantan, untuk bertemu secara sulit. Bagaimanapun, beliau meletakkan syarat dengan tidak mengizinkan saya menghadirinya. Jadi, tiada siapa daripada parti yang hadir kerana beranggapan isu tersebut bukan isu Azmin, tetapi isu parti. Beliau berjanji mahu buat pertemuan dengan parti politik mengenai daftar pemilih selepas raya.

KeADILan turut membina satu sistem dinamakan Sismep 12. Apa keperluannya?

Tentang Sismep 12 (Sistem Menang Pilihan Raya ke-12) ini, saya tidak tahu bagaimana Rashid tahu mengenainya. Pada 10 Ogos lalu, beliau mengeluarkan kenyataan dalam Berita Harian mengenai sistem ini. Katanya, sistem ini gimik politik, dan sebenarnya tiada pengundi hantu dalam daftar pemilih. Masalahnya beliau tidak menjawab isu sebenar yang dibangkitkan. Saya sebut, jika bukan pengundi hantu, apakah status pengundi tersebut?Contohnya, pengundi yang sudah meninggal datang mengundi. Itu bukan hantu? Okey, jika bukan, kategori apa pengundi itu? Saya bagi contoh dalam laporan bertulis, ayah saya sendiri boleh datang mengundi selepas lima tahun meninggal. Dan memang ada yang datang mengundi dengan mengunakan nama dia.
Pada 1999, ayah saya meninggal bulan Julai dan pilihan raya November. Namanya sudah dikeluarkan dari daftar pemilih, tapi pada 2004, namanya dimasukkan semula. Bukan setakat masuk, tetapi boleh datang mengundi. Kita ada bukti. Pengundi apa ini? Ini bukan hantu?

Apa sebenarnya pengundi hantu berdasarkan kajian saudara dan KeADILan?

Antara lainnya pengundi yang menggunakan alamat rumah orang lain tanpa kebenaran, bilangan pengundi yang tidak sepatutnya berada di dalam sesebuah rumah, wujudnya alamat yang bersifat pangsapuri sedangkan di kawasan tersebut hanya rumah kampung sebuah-sebuah, jumlah kertas undi di Dun dan Parlimen tidak sama, dan lain-lain lagi yang diperincikan dalam Sham Democracy.

Dulu kita serang SPR tanpa bukti, kini sudah cukup bukti. Ia terhasil dari Sismep 12 yang digabungkan dari daftar pemilih yang dibeli dari SPR. Bagi kami, pengundi hantu ialah pengundi yang tiada kelayakan untuk mengundi. Sismep 12 bukan saja boleh kesan penipuan tapi juga kaedah penipuan.

Begitu juga tentang umur pengundi di antara 90-122 tahun, bilangannya hampir 20 ribu. Saya pertikaikan. Di Padang Serai, kita dimaklumkan terdapat 38 orang berumur lingkungan usia tersebut. Mereka buat culaan sebelum puasa baru ini dan mendapati sudah 36 orang tidak ada. Jadi kita perlu turun padang untuk memastikan senarai nama mereka yang sudah tiada dikeluarkan dari daftar pemilih.

Lagi kepincangan dan penyelewengan SPR?

Tahun 2004 menyaksikan pilihan raya yang paling buruk. Contohnya pengundi yang tiada saluran untuk mengund, di Selangor saja, 223,000 pengundi tiada saluran mengundi. Jadi mereka tidak dibenarkan mengundi. Bagaimana ini berlaku? Begitu juga dengan alamat palsu yang terkandung dalam daftar pemilih. Di Pulau Pinang, rumah di situ sehingga nombor 30, tapi dalam daftar pemilih terdapat nombor sehingga 80. Soalnya, di mana rumah-rumah ini? Banyak kepincangan tentang daftar pemilih didedahkan dan memerlukan pembersihan. Bagaimana ia dapat dijalankan?

Apa yang akan menyusul selepas kursus Sismep 12 yang telah kita adakan, kita akan membekalkan borang kaji selidik (BKS) di mana setiap bahagian dibekalkan. Berdasarkan Sismep 12 kita akan turun ke ke bahagian untuk kumpulkan maklumat. Contohnya, setinggan yang banyak dirobohkan di Selangor dan KL, di mana mereka sekarang? Jadi, kita serahkan kepada 'task force' di peringkat pusat dan kemudiannya dibawa secara kolektif ke SPR. Kita mahu beri tekanan kepada SPR.

Apakah bahan-bahan bukti itu akan mengikat SPR untuk membersihkan daftar pemilih atau ada helah Rashid yang lain?

Setakat ini beliau tidak bagi jawapan tepat. Tidak menjawab soalan asas. Kita bukan cakap kosong, kita ada bukti melalui sistem yang cukup baik. Sebab itu dalam kongres KeADILan, kita desak Rashid dan Setiausahanya, meletakkan jawatan. Jika tidak, KeADILan tidak menolak kemungkinan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong kerana perlantikan ini oleh Agong, walaupun atas nasihat kerajaan. Kita mahu serahkan bukti-bukti ini kepada Majlis Raja-raja supaya tindakan diambil sebelum pilihan raya akan datang.

Jika dilihat dalam Perlembagaan, soal perlantikan mesti mendapat keyakinan awam.

Itu jelas, tetapi sekarang keyakinan itu sudah tidak ada, sudah terhakis. Terhakis kerana rakyat sudah didedahkan dengan penyelewengan dan pencabulan SPR dan ini satu perkara serius. Cuba lihat di Thailand, pengerusi yang menjaga hal ehwal pilihan raya dipenjarakan bersama-sama dua anggota exconya kerana menyeleweng dalam pilihan raya. Bila situasinya begitu, barulah rakyat yakin dan percaya dengan institusi tersebut. Mengapa tidak kita? Malaysia selalu mendabik dada, mengatakan negara demokratik, negara Islam, tapi pemimpin yang juga pengerusi OIC menunjukkan contoh yang tidak baik.

Soalnya di negara kita, walaupun pembangkang menunjukkan pelbagai bukti penyelewengan SPR, namun respons daripada rakyat nampak tidak kuat?

Ini masalah kefahaman, juga media di Malaysia yang tidak bebas. Sentiasa dipadamkan tentang sokongan terhadap pembangkang, jadi maklumat tak sampai. Maka menjadi tanggungjawab parti untuk mendidik rakyat supaya memahami keperluan pembaharuan dalam sistem pilihan raya. Saya lihat tiga komponan parti pembangkang, KeADILan, PAS dan DAP, buat kali pertama bersetuju duduk semeja untuk membincangkan tentang pembaharuan, di mana kita juga menubuhkan Join Action Committee on Election Reform (JACR), khusus untuk membincangkan tentang pembaharuan ini. Kita akan adakan sidang akhbar selepas raya, di Parlimen. Dalam isu ini kita bersama, kemudian kita turun ke bawah untuk menerangkan kepada rakyat. Untuk memberi tekanan kepada pemerintah terutama daripada pihak antarabangsa, peranan Dato' Seri Anwar Ibrahim amat diperlukan. Selepas sistem ini dibina, sudah kenal pasti masalah dan melihat pelbagai pencabulan dan kelemahan, kita kumpul semua dan telah menyiapkan laporan 'Sham Democracy'. Dan atas permintaan Anwar, kita dah hantar ke kedutaan asing yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Tujuannya agar mereka tidak menerima mudah kemenangan BN dalam mana-mana pilihan raya. Mereka perlu faham bahawa penyelewengan itu terlalu 'real', serius tetapi tidak dapat didedahkan kerana media di sini dikongkong, malah dimiliki, parti pemerintah. Beberapa kedutaan asing sudah menghubungi kita semula, untuk dapatkan maklumat dan penjelasan yang lebih terperinci, termasuk beberapa negara Asean yang agak 'concern' dengan perkembangan demokrasi.

Bagaimana dengan tuntutan untuk membawa masuk pemantau antarabangsa?

Secara prinsipnya, KeADILan fikir bahawa pemantauan asing tidak perlu, tetapi dengan syarat pilihan raya itu bersih. Apabila berlaku terlalu banyak penyelewengan, kita tiada pilihan melainkan perlu dipantau, bukan pada hari mengundi sahaja, tetapi sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tarikh pilihan raya untuk melihat keseluruhan proses pilihan raya itu.

Ada pihak berpendapat pemantauan itu sendiri seolah-olah memberi mesej pilihan raya kita tidak bebas?

Ini bukan soal tidak demokratik. Kalau pilihan raya kita bersih, adil tiada sebab takut untuk dipantau. Memang menjadi amalan antarabangsa seperti di India, Turki yang membenarkan pemantau antarabangsa. Tiada benda yang hendak disorok. Bila Malaysia tidak benarkan, timbul keraguan bahawa ada sesuatu yang tak kena. Saya setuju pencabulan bukan hanya pada daftar pemilih, tapi merangkumi semua, seperti media. Suasana sekarang cukup baik untuk pembangkang, perlu rapatkan barisan antara kita kerana rakyat sudah letih dengan pemerintahan.

Mengenai hubungan PAS-KeADILan. Sesetengah pihak melihat ia tidak seintim dulu?

Saya tak setuju pandangan itu. Sekali lagi, ini peranan media yang melihatkan hubungan PAS dan KeADILan yang kononnya tidak rapat. Bagi saya suasana hari ini lebih akrab. Perbezaan pendapat itu perkara biasa. Dalam satu keluarga pun ada berbeza pandangan. Tapi yang penting perlu bergerak atas dasar permuafakatan.
Memang ada perbezaan dalam beberapa perkara, seperti isu Tun Mahathir, tetapi masih ada banyak perkara yang kita setuju bersama. Mengapa kerana ada satu, dua perkara yang kita tak setuju diperbesarkan, sedangkan perkara yang disepakati bersama ditenggelamkan. Inilah peranan media. Suara Keadilan dan Harakah punya tanggungjawab untuk tonjolkan persefahaman di kalangan ahli KeADILan dan PAS. Kita tak mahu rakyat keliru dengan benda-benda begini. Kenapa hari ini Mahathir nak bicarakan apa yang dulu dia juga buat?

Betul, sebagai parti politik kita kena ambil kesempatan, tapi jangan sampai terperangkap. Kita boleh eksploit isu, tapi kena bijaksana. Jika sudah terperangkap, kita susah nak 'make adjustment' dan rakyat di bawah menjadi makin keliru. Jangan lihat ini sebagai satu masalah, banyak lagi persamaan yang dimuafakat bersama.

Kembali faktor Anwar, ramai tidak puas hati pembabitannya dalam kancah politik Malaysia. Beliau masih banyak masa di luar negara sedangkan barisan pembangkang memerlukan kehadirannya. Lagipun pilihan raya sudah tidak lama lagi dan kita bimbang dalam masa singkat nanti tidak banyak yang boleh dibuat oleh Anwar.

Itu satu persepsi yang 'real', bukan saja daripada PAS, tapi KeADILan juga. Begitu juga rakyat biasa. Mereka mahu Anwar berada di Malaysia. Saya setuju sentimen ini. Tetapi Anwar lebih tertumpu kepada program yang diadakan secara tertutup kepada kelompok sasaran. Jadi tidak banyak publisiti. Anwar juga banyak menyatakan pendirian tentang PAS, di pentas-pentas antarabangsa, di mana beliau menyangkal pemikiran non Muslim yang menyifatkan PAS sebagai Taliban. Bila mendengar hujah dan pendirian Anwar, mereka baru faham kedudukan sebenar. Anwar banyak berhubung dengan Dewan Perniagaan Cina, Persatuan Pendidikan Cina termasuk Suqiu, Persatuan Hokkien dan lain-lain. Kesannya sangat positif, mereka makin faham kedudukan sebenar.

Agenda di luar negara pun penting juga, kerana jika kita mahu perintah negara ini, kita perlu mendapat sokongan dunia antarabangsa. Soalan pertama yang sering ditanya kepada Anwar, mengapa KeADILan ada hubungan dengan PAS? Anwar sering pertahankan pendiriannya tentang hubungan dengan PAS. Akhirnya, mereka dapat gambaran jelas tentang PAS.

Anwar tidak akan lama di luar negara, dia akan kembali ke tanah air untuk mengukuhkan kedudukan kita, barisan pembangkang. Insya-Allah.

1 comment:

Anonymous said...

Anwar sudah tidak salah tetapi dia kena penjara dulu atas perkara yang tidka dilakukan sape pulak yang salah ....sape mahu bayar