Friday, November 10, 2006

ISA: Sunyi dan air mata Syawal


Khamis, 19 Oktober 2006

Saya teringat, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah melahirkan rasa sunyi menyambut Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi dengan ketiadaan isteri tercinta yang mengadap Ilahi sejak setahun lalu.

Rasa kesunyian yang dialami itu diluahkannya dalam nada lirih dan sayu, mampu membuatkan ramai yang bersimpati dengan ujian yang diberi kepadanya.

Ohh...saya bukan mahu bercerita tentang kesunyian, kesedihan Pak Lah. Biarlah dia dengan segala kesedihan dan kesunyiannya, kerana semua insan di muka dunia ini akan berhadapan situasi sepertinya. Tidak kira kerana kehilangan isteri, suami atau anak-anak. Malah, tanpa kehilangan sesiapa pun pasti sekali dalam hidup mereka situasi tersebut akan ditempuh.

Teringat kesedihan dan kesunyian yang diungkap Pak Lah, spontan saya terbayang wajah-wajah isteri tahanan ISA, yang telah lama kesunyian dan dilambung kesedihan, malahan lebih lama berbanding Pak Lah sendiri.

Ya! Hampir lima tahun mereka diselubungi kesunyian dan kesedihan. Hampir lima tahun pelbagai perasaan terimbau di jiwa mereka. Sedih, kecewa, terkejut, marah, sakit hati, pedih, dan segala macam rasa yang ada tersemat kukuh dalam jiwa mereka.

Isteri-isteri yang selama ini banyak bergantung harap kepada suami mereka semata-mata, dipisahkan secara kejam hingga mengakibatkan mereka mengalami 'kejutan budaya' apabila terpaksa mengambil alih tugas dan tanggungjawab suami selama ini.

Sebelum ini, sebelum saya menjadi wartawan, saya tidak tahu apa itu ISA. Pada pandangan saya, ISA ini sama seperti undang-undang lain. Aduh! Alangkah ceteknya pengetahuan saya ketika itu. Dan saya sedar, ramai di luar sana yang masih kabur, malah tidak memahami apa ISA itu sebenarnya.

Apabila menceburkan diri dalam bidang kewartawanan, saya agak selalu juga membuat tugasan mengenai akta drakonian itu, di samping rakan setugas yang lebih pakar tentang ISA, Wan Nordin. Kekerapan saya mengikuti program anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) sebenarnya menambahkan pengetahuan kepada saya, di samping mendekatkan diri dengan keluarga tahanan tanpa bicara ini.

Bagaimana dekat sekali pun saya dengan isteri-isteri tahanan ini, saya tidak pernah bertanya dari hati ke hati tentang perasaan mereka. Faham-faham sendiri sajalah, tak perlu tanya...fikir saya. Daripada program-program yang saya hadiri, saya fahami perasaan mereka dan ada ketikanya bertindak 'kejam' (seperti yang diungkap rakan setugas, Azamin sebelum ini) apabila tidak mengendahkan perasaan mereka demi mendapatkan berita yang diingini.

Norlaila Osman, satu nama yang begitu sinonim dengan ISA. Saya rapat dengan beliau, di samping beberapa isteri tahanan lain. Namun, seperti yang saya katakan saya tidak pernah bertanya dari hati ke hati tentang perasaannya sehinggalah semalam, ketika saya ditugaskan untuk 'mengorek lumat' hati dan perasaannya, menjelang Aidilfitri kelima tanpa suami di sisi!

Terlihat kesedihan yang tergambar di wajahnya, kesayuan nada suaranya, genangan air mata di sudut matanya apabila bercerita tentang suami kesayangannya, menjadikan sesi temuramah bertukar menjadi perbualan biasa.

Aduhai...tidak tergamak rasanya mahu berbicara secara serius tentang perasaannya. Apatah lagi, ketika beliau rancak bercerita tentang sikap suaminya, tiba-tiba beliau terhenti kerana sebak dan cuba melarikan diri dari sisi saya bagi menyembunyikan air mata yang mengalir.

Lantas dengan segera cuba mengambil bingkai gambar memuatkan wajah suaminya bagi menutup kesedihan, dan kemudiannya kembali ke sisi saya.

Bagi mereka yang mengenali beliau, sudah pasti mengenalinya sebagai seorang yang kuat, tabah dan tidak menunjukkan kesedihannya di hadapan orang ramai. Tetapi, di hadapan saya, di kediamannya dan bukan di program GMI, beliau menjadi begitu sensitif. Lebih-lebih lagi dengan sikap kejam saya yang bertanya itu ini tentang Aidilfitri!

Kebetulan, ketika kami berbual...berkumandang lagu raya yang dari rumah jiran sebelah. Spontan beliau meluahkan kata-kata "arghh...raya tak bererti apa-apa" dengan nada penuh lirih dan sayu.

Saya tertunduk diam, terasa panas mata saya mendengar luahan itu. Spontan, tangannya saya genggam erat. Memberi kekuatan kepadanya, biarpun bahu yang memikul sudah pasti terasa beratnya berbanding mata yang memandang.

Tahun ini, sudah masuk tahun kelima Norlaila menyambut raya di Kamunting, bersama suami di balik tembok batu. Kebiasaannya menyambut raya bersama ahli keluarga, tetapi kini tradisi itu berubah. Gara-gara pemerintah yang takut dengan bayang-bayang sendiri.

Dari perbualan kami, Norlaila memberitahu pertemuannya dengan suami di pagi raya agak berbeza berbanding tahun-tahun lalu. Jika dulu, boleh duduk bersebelahan dan makan bersama, sekarang beliau dipisahkan di sebalik gentian fiber dan berbicara melalui interkom.

Sedihnya, suami kesayangan beliau diasingkan daripada tahanan-tahanan lain, malah sering ditukarkan ke sel-sel mengikut 'citarasa' pihak kem.

disuarakan hasratnya kepada suami untuk mengurangkan aktiviti bersama GMI, tetapi suami melarang dan meminta perjuangan itu diteruskan.

Katanya, jika bukan Ila yang nak berjuang...siapa lagi. Mohd Sah sendiri tidak kisah dipindahkan ke sana sini, kerana baginya penderitaan dan kesengsaraan sang isteri dan anak tunggalnya di luar sana lebih menyakitkan!

Di akhir pertemuan, sekali lagi Norlaila menitiskan air mata. Harapannya begitu tinggi, menyaksikan pembebasan suami tercinta, terutamanya menjelang takbir raya. Namun,seperti dijangka...suaminya masih di sana, menyaksikan beberapa rakan lain meninggalkan pusat berkenaan...

Kak Laila...sabarlah, Allah tidak menimpakan sesuatu ujian itu tanpa kemampuan dan keupayaan kita...

No comments: